Thursday, January 29, 2009

ETIKA KERJA ISLAM

Kekadang cuba kita lihat, bagaimana etika seorang pekerja berdasarkan persepsi orang ramai terhadap bidang tugas sesuatu kerja tersebut samada menjalankan amanah atau sebaliknya. Timbul pulak beberapa ajaran yang menyalahi etika kerja antaranya memulau dan sebagainya.

Islam telah menggariskan beberapa panduan dan etika boleh menjamin kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi. Matlamat utama memperkenalkan etika ini adalah untuk mengahasilkan bukan sahaja organisasi yang cemerlang tetapi juga ingin melahirkan manusia yang juga cemerlang dari segenap sudut malah selari dengan tuntutan kecemerlangan agama itu sendiri. Islam ingin melahirkan manusia yang seimbang dari segenap aspek kehidupan. Islam tidak hanya melahirkan manusia yang cemerlang dari sudut amalan agama sahaja tetapi juga ingin melahirkan kejayaan dalam kehidupan di dunia ini. Islam amat menentang tumpuan hanya kepada aspek tertentu dengan pengabaian kepada aspek yang lain. Ia perlu dilakukan secara beriringan.


KERJA SEBAGAI IBADAH

Setiap orang bekerja untuk memenuhi keperluan diri dan orang yang di bawah
tanggungannya, masyarakat, negara dan manusia sejagat. Semua tujuan ini terkandung dalam ertikata untuk mengabdikan diri kepada Allah, yang dianggap sebagai matlamat dan tujuan yang mulia.


Kita mungkin tertanya-tanya, bagaimana kita hendak membudayakan kerja sebagai satu ibadah yang dijanjikan ganjaran oleh Allah s.w.t. Kita juga mungkin terfikir mengapa kita amat berhati-hati dan sentiasa berusaha memelihara pantang larang di dalam melaksanakan sesuatu ibadah khususnya ibadah yang telah difardhukan. Haji umpamanya, seluruh bakal-bakal Haji dan Hajjah sanggup berusaha sebaik mungkin agar tidak melanggar pantang larang ketikan sedang berihram, rambut gugur, hati menjadi risau, kena dam ke tidak. Semua orang berusaha menjaga dan memelihara pantang larang tersebut. Persoalannya mengapa kita mengambil sikap sambil lewa atau dalam bahasa mudahnya ’ cincai ’ dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Jadi, Bagaimana kerja atau kerjaya kita boleh diiktiraf sebagai ibadah kalaulah ini sikap dan fahaman kita.


Oleh itu cara yang paling mudah ialah, cuba kita sematkan azam dan tekad untuk membudayakan kerja itu sebagai ibadah dengan berikhtiar agar semangat dan sikap berhati-hati kita semasa mengerjakan ibadah khusus diterapkan dalam tugas dan kerjaya kita. Pasti ketenangan, keseronokan dan kepuasan akan terpancar di hati dan wajah kita. Pasti tekanan, kekecewaan, kehampaan dan lain-lain watak negatif akan dapat dihindarkan.


Oleh itu, untuk menjadikan kerja itu sebagai ibadah beberapa syarat tertentu yang perlu dipatuhi selari dengan contoh-contoh ibadah lain yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan seperti sholat, puasa, haji dan sebagainya. Roh ibadah itu perlu diterapkan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Antaranya:


1. Niat kerana Allah : Kerja akan menjadi ibadah bila niat itu betul. Niat perlu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. tanpa dipengaruhi dengan lain-lain tujuan. Niat yang tidak betul akan menjadikan kerja itu menyimpang dari tujuan ibadah. Contohnya, untuk mencari nama, pangkat, kekayaan, mengharapkan pujian dan seumpamnya.


2. Tunai tanggungjawab asas : Untuk menjadikan kerja itu ibadah, jangan sampai kita terpaksa mengorbankan ibadah-ibadah yang hakiki yang perlu ditunaikan seperti sembahyang, puasa dan sebagainya.


3. Kerja yang selaras dengan syarak : Kerja hanya akan dianggap ibadah apabila pekerjaan itu dianggap halal dari sudut syarak. Oleh itu kerja yang tidak selari dengan ketentuan syarak akan terkeluar dari maksud ibadah.


4. Tunai tanggungjawab sesama manusia : Tanggungjawab kepada manusia lain perlu juga ditunaikan walaupun hakikatnya mempunyai hubungan dengan soal kewajipan, seperti berzakat, besedekah, bantuan untuk anak yatim dan sebagainya.


5. Menanamkan sifat mulia : Setiap orang perlu mempunyai nilai-nilai murni dalam diri mereka, seperti sabar, dedikasi, berani, usaha yang berterusan dan seumpamanya.


Oleh itu, setiap individu perlu menghayati budaya dan etika kerja Islam. Matlamat Islam cukup jelas, untuk melahirkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya, serta menjamin kualiti kerja dan perkhidmatan yang terbaik. Islam adalah berbeza dari etika kerja menurut Barat, kerana mereka hanya memfokuskan kepada keuntungan dan material semata-mata, tanpa mengambil kira aspek-aspek sampingan yang lain.

No comments:

Post a Comment