Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ramadhan.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, mereka itu penghuni surga; mereka kekal di dalamnya (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 82)
Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.
Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.
Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari
Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.
Hikmah Dari Segi Kesihatan
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.
Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan.
Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri. Akhir kata selamat beramal.
No comments:
Post a Comment