Beliau yang sebelum ini popular dengan nama Cat Stevens, bekas artis superstar rock dunia lalu mengundurkan diri daripada dunia hiburan untuk mempelajari Islam, dan kini aktif berdakwah melalui aktiviti pendidikan dan sosial.
Yusuf Islam dilahirkan dengan nama Stephen Demetre Georgiou, 21 Julai 1948, di London dalam keluarga Nasrani. Beliau telah melalui perjalanan hidup yang panjang sehingga suatu hari pintu hatinya terbuka untuk memeluk Islam. Pengalaman hidup beliau kami abadikan dalam ruangan kisah kali ini. “Saya dilahirkan di London, bandar metropolitan dunia Barat. Saya dilahirkan di era televisyen dan angkasa luar mula dicipta dan diterokai. Saya dilahirkan di era teknologi mencapai kemuncaknya. Saya membesar dalam masyarakat yang kononnya menjunjung tinggi peradaban manusia. Saya belajar di sebuah sekolah Katolik yang mengajarkan tentang agama Nasrani sebagai jalan hidup dan kepercayaan. Dari sini pula saya mengetahui apa yang harus saya ketahui tentang Tuhan, alMasih dan takdir, yang baik mahupun yang buruk,” papar Yusuf memulai kisah hidupnya. Ia mendapatkan banyak pengetahuan tentang Tuhan dan doktrin Triniti di sekolah Katolik tersebut sejak kecil. Konsep ketuhanan yang masih menimbulkan pertanyaan dan keraguan dalam dirinya.
Dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang berfahaman materialistik, secara automatik mempengaruhi apa yang diyakini oleh masyarakat sekelilingnya. “Fahaman yang amat mendapat tempat dalam media ketika mengajarkan, kekayaan adalah kekayaan harta benda yang sesungguhnya, dan kefakiran adalah ketiadaan harta benda secara hakiki. Amerika adalah contoh negara kaya dan negara-negara dunia ketiga adalah contoh kemiskinan, kelaparan, kebodohan, dan kepapaan. Kerana itu, saya memilih untuk meniti jalan yang boleh mendatangkan kekayaan, supaya boleh hidup bahagia. Kerana itu, saya mempunyai falsafah hidup bahawa kehidupan dunia tidak ada kaitannya dengan agama,” ujar Yusuf.
Menginjak usia dewasa, muncul kekagumannya pada para artis yang sering ia saksikan melalui berbagai media sehingga menganggap mereka sebagai pujaan tertinggi. Ia pun bertekad mengikuti perjalanan hidup golongan ini. Dan benar, ternyata ia menjadi salah seorang bintang pop terkenal yang kemudiannya menghias pelbagai media massa. “Saya mula memikirkan jalan untuk menuju kejayaan melalui bidang muzik. Langkah awal yang saya lakukan adalah membeli sebuah gitar, mengarang lagu, dan menyanyikannya sendiri. Saya mula membuat persembahan dengan membawa nama “Cat Stevens”. Dan tidak berapa lama, yakni ketika saya berusia 18 tahun, saya telah menyiapkan album rakaman yang berjumlah delapan kaset. Setelah itu banyak sekali tawaran datang. Saya pun berjaya mengumpulkan wang yang banyak. Di samping itu, populariti saya pun mencapai kemuncak,” tambahnya lagi.
Melakukan Pencarian
Ketika itu, Yusuf berasa bahawa dirinya lebih besar dari alam ini dan seolah-olah usianya lebih panjang daripada kehidupan dunia dan ia beranggapan ia adalah orang pertama yang dapat merasakan kehidupan glamor seperti itu. Namun pada suatu hari ia jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan dalam wad hospital. Ketika itulah ia mengakui mempunyai peluang untuk memikirkan
tentang hidup, hingga ia temukan bahawa dirinya hanyalah umpama satu jasad dan apa yang selama ini ia lakukan hanyalah untuk memenuhi keperluan jasad. Ia merasakan bahawa sakit yang ia alami adalah cubaan Tuhan dan peluang untuk membuka matanya. Mengapa ia dihidupkan. Apa yang ia lakukan dalam kehidupan ini.
No comments:
Post a Comment