“Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.......”. Begitulah sebahagian terjemahan kata-kata Chief Seattle sebagai bahan rujukan oleh penceramah dan aktivis alam sekitar di seluruh dunia tentang pentingnya menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab setiap penduduk dalam sesebuah negara supaya tidak merosakkan alam sekitar ini dengan sewenang-wenangnya dalam apa jua cara untuk mengelakkan kesan buruk kepada generasi yang akan datang.
Keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi oleh manusia antaranya adalah disebabkan perhubungan murni antara manusia dan alam. Masalah ini telah pun dijelaskan oleh al-Quran, Allah S.W.T berfirman bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.” (Rum:41). Berdasarkan ayat tersebut jelaslah menunjukkan sikap manusia yang tidak menghormati, melakukan pencerobohan terhadap alam sekitar dengan cara berlebih-lebihan menyebabkan berlakunya kemusnahan alam. Oleh yang demikian, jelaslah Allah sebagai arkitek kepada penciptaan manusia lebih mengetahui sifat-sifat negatif yang ada dalam diri manusia dan memberi amaran kepada manusia melakukan pencerobohan tersebut agar kembali insaf dan bertaubat.
Islam secara amnya sangat menitikberatkan berkenaan dengan permasalahan sekitar. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti manusia yang boleh mengancam dan memusnahkan kehidupan alam ini adalah dilarang sama sekali dan ia bertentangan dengan tuntutan syarak dan tindakan ini sama sekali bertentangan dengan sunnatullah. Sebagai contoh, aktiviti pemusnahan hutan yang tidak terkawal, membuang bahan-bahan toksid dalam sungai atau laut, pencemaran asap oleh kilang-kilang, dan sebagainya. Manusia perlu mengingati bahawa setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi adalah makhluk Allah. Sekiranya manusia melakukan pencebohan secara tidak munasabah dan untuk kepentingan diri maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zalim. Perbuatan dan tingkah laku tersebut sudah tentulah berlaku kontradiksi dengan prinsip Islam yang murni.
Tegasnya, pengurusan alam semulajadi yang sistematik perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan bersifat mesra alam. Bersesuaian dengan gagasan Perdana Menteri yang ingin melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai peradaban tinggi yang seimbang dari aspek pembangunan insan dan pembangunan fizikal. Interaksi manusia dengan alam perlu dilihat dalam dimensi yang luas ia bersifat mesra alam. Sebagai hamba Allah kita perlu ingat bahawa setiap tingkah laku kita terhadap semua makhluk ciptaan Allah akan dinilai dan dihitung oleh Allah di hari akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment