Oleh: ibn shukri
AZAM tahun baru...ya inilah ungkapan yang sering kita perkatakan menjelang tahun baru. Malang bagi mereka yang tidak memikirkan mengenai persoalan azam dan lebih malang lagi ramai juga yang langsung tidak memikirkan persoalan muhasabah menjelang tahun baru 1429H atau 2008.
Persoalannya azam, cita-cita, impian dan perancangan ini dapat dikatakan mempunyai kaitan dengan masa depan, manakala muhasabah dan penilaian diri ini berkaitan masa lalu, malah seakan-akan dilupakan tindakan masa lalu.....
Sewajarnya muhasabah perlu dilakukan setiap individu dalam rangka memasang azam tahun baru dan pastinya dengan muhasabah serta azam ini dapat menginsafkan jiwa yang sedar akan kepentingan hijrah. Dalam konteks mahasiswa, kita perlu sentiasa berazam untuk meningkatkan penguasaan ilmu dan ini pastinya menuntut kita untuk mengamalkan budaya ilmu.
Sentiasalah berdamping dengan ilmuan. Utamakan membaca buku karya ulama, pakar dan tokoh. Setiap detik, setiap saat dimanfaatkan untuk ilmu. Inilah azam kita yang perlu diperbaharui setiap hari dengan harapan hari ini lebih baik daripada semalam. Sebaliknya mahasiswa kini lebih dekat dengan artis, hiburan dan banyak lagi budaya kuning yang merosakkan. Keperluan mahasiswa memilih hiburan yang mendidik jiwa bukannya hiburan yang terlampau.
Sebagai mahasiswa, mereka perlu sedar dan insaf akan peranan dan tanggungjawab. Kitalah harapan ibu bapa, guru, universiti, pemimpin negara, ulama, rakyat dan umat keseluruhannya.
Bagaimana dengan penguasaan ilmu? Bagaimana pula dengan iman dan takwa kepada Allah? Tiada lain yang perlu lakukan melainkan hijrah. Jika bukan hijrah, apa lagi? Jika bukan sekarang bila? Jika bukan di universiti ini di mana lagi? Jika bukan kita siapa?
Bagaimana pembinaan modal insan yang mencapai keseimbangan dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek akan berjaya jika terdapat pekara-pekara yang tanpa kita sedari merosakkan perencanaan agenda pembinaan negara. Cuba kita rujuk artikel bertajuk "universiti asmara" dedah gejala seks penuntut IPT di akhbar Berita Harian,pada hariAhad bersamaan 13 Januari 2008 / 4 Muharam 1429 / bharian
Selain itu, kupasan mengenai isu kekosongan jiwa remaja yang tiada pengisian positif ketika mereka menuntut di IPT. Hal ini berbeza dengan era 80-an yang mana ramai anak muda dipacu oleh perjuangan dan ideologi menerusi pertubuhan seperti ABIM, PKPIM, GPMS dan banyak lagi.
“Anak muda kini seolah-olah tiada perjuangan, tiada haluan. Sebab itu ramai lebih suka merempit dan terbabit dengan gejala moral yang membimbangkan masyrakat masa kini. Seolah-olah “harapkan pagar, pagar makan padi” begitulah kronologi antara masyrakat dengan mahasiswa.
Belum lagi masalah jenayah yang bermaharajalela, menurut Harakah artikel yang bertajuk “PM terkejut jenayah tinggi” pada 13 Jan 2008 dimana jenayah ganas meningkat 13.4 peratus. Kes rogol naik 30 peratus manakala rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus. Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus, pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus, pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus, curi motosikal meningkat 3.2 peratus, curi kereta naik 11.4 peratus dan kecurian lain naik 5.1 peratus.
Persoalannya apakah kita hanya melihat sahaja keadaan ini berterusan sehingga terkena “batang hidung sendiri”?
Hijrah perlu dimulai dengan muhasabah seterusnya azam untuk melangkah ke tahun baru dengan penuh keinsafan dan meletakkan wawasan ketakwaan sebagai puncak perubahan. Mahasiswa perlu berubah demi perubahan dan pastinya perubahan itu bermula daripada diri sendiri. Dengan muhasabah penuh keimanan dan dengan keazaman penuh perancangan, mahasiswa mampu memimpin perubahan. Mari berhijrah!