Tuesday, June 23, 2009

Yusuf Islam Temui Hidayah Selepas Lalui Pencarian Panjang

Beliau yang sebelum ini popular dengan nama Cat Stevens, bekas artis superstar rock dunia lalu mengundurkan diri daripada dunia hiburan untuk mempelajari Islam, dan kini aktif berdakwah melalui aktiviti pendidikan dan sosial.

Yusuf Islam dilahirkan dengan nama Stephen Demetre Georgiou, 21 Julai 1948, di London dalam keluarga Nasrani. Beliau telah melalui perjalanan hidup yang panjang sehingga suatu hari pintu hatinya terbuka untuk memeluk Islam. Pengalaman hidup beliau kami abadikan dalam ruangan kisah kali ini. “Saya dilahirkan di London, bandar metropolitan dunia Barat. Saya dilahirkan di era televisyen dan angkasa luar mula dicipta dan diterokai. Saya dilahirkan di era teknologi mencapai kemuncaknya. Saya membesar dalam masyarakat yang kononnya menjunjung tinggi peradaban manusia. Saya belajar di sebuah sekolah Katolik yang mengajarkan tentang agama Nasrani sebagai jalan hidup dan kepercayaan. Dari sini pula saya mengetahui apa yang harus saya ketahui tentang Tuhan, alMasih dan takdir, yang baik mahupun yang buruk,” papar Yusuf memulai kisah hidupnya. Ia mendapatkan banyak pengetahuan tentang Tuhan dan doktrin Triniti di sekolah Katolik tersebut sejak kecil. Konsep ketuhanan yang masih menimbulkan pertanyaan dan keraguan dalam dirinya.

Dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang berfahaman materialistik, secara automatik mempengaruhi apa yang diyakini oleh masyarakat sekelilingnya. “Fahaman yang amat mendapat tempat dalam media ketika mengajarkan, kekayaan adalah kekayaan harta benda yang sesungguhnya, dan kefakiran adalah ketiadaan harta benda secara hakiki. Amerika adalah contoh negara kaya dan negara-negara dunia ketiga adalah contoh kemiskinan, kelaparan, kebodohan, dan kepapaan. Kerana itu, saya memilih untuk meniti jalan yang boleh mendatangkan kekayaan, supaya boleh hidup bahagia. Kerana itu, saya mempunyai falsafah hidup bahawa kehidupan dunia tidak ada kaitannya dengan agama,” ujar Yusuf.

Menginjak usia dewasa, muncul kekagumannya pada para artis yang sering ia saksikan melalui berbagai media sehingga menganggap mereka sebagai pujaan tertinggi. Ia pun bertekad mengikuti perjalanan hidup golongan ini. Dan benar, ternyata ia menjadi salah seorang bintang pop terkenal yang kemudiannya menghias pelbagai media massa. “Saya mula memikirkan jalan untuk menuju kejayaan melalui bidang muzik. Langkah awal yang saya lakukan adalah membeli sebuah gitar, mengarang lagu, dan menyanyikannya sendiri. Saya mula membuat persembahan dengan membawa nama “Cat Stevens”. Dan tidak berapa lama, yakni ketika saya berusia 18 tahun, saya telah menyiapkan album rakaman yang berjumlah delapan kaset. Setelah itu banyak sekali tawaran datang. Saya pun berjaya mengumpulkan wang yang banyak. Di samping itu, populariti saya pun mencapai kemuncak,” tambahnya lagi.

Melakukan Pencarian
Ketika itu, Yusuf berasa bahawa dirinya lebih besar dari alam ini dan seolah-olah usianya lebih panjang daripada kehidupan dunia dan ia beranggapan ia adalah orang pertama yang dapat merasakan kehidupan glamor seperti itu. Namun pada suatu hari ia jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan dalam wad hospital. Ketika itulah ia mengakui mempunyai peluang untuk memikirkan
tentang hidup, hingga ia temukan bahawa dirinya hanyalah umpama satu jasad dan apa yang selama ini ia lakukan hanyalah untuk memenuhi keperluan jasad. Ia merasakan bahawa sakit yang ia alami adalah cubaan Tuhan dan peluang untuk membuka matanya. Mengapa ia dihidupkan. Apa yang ia lakukan dalam kehidupan ini.

Thursday, June 18, 2009

Pemergian Almarhum Dr Fathi Yakan

Takziah kepada keluarga Almarhum Dr Fathi Yakan atas pemergian beliau menghadap Ilahi pada pukul 4.45 petang, 13 Jun 2009 di Hospital Otel Deo, Beirut, Lubnan.

Kehilangan beliau ini sebagai satu kehilangan besar terhadap dunia Islam, khususnya Gerakan Dakwah Islamiah dimana beliau merupakan antara tokoh ulama' utama yang banyak menulis tentang isu-isu gerakan Islam. Antara bukunya yang dirujuk oleh semua ahli Gerakan Islam Dunia adalah "Apa ertinya Saya Menganut Islam", Masalah Dakwah dan Pendakwah" serta "Persepsi Haraki dalam Kerja-kerja Islami".

Beliau yang lahir pada tahun 1933, merupakan pengasas kepada Gerakan Islam Lubnan, Jabhah Amal Islami. Beliau bukan sahaja dilihat sebagai tokoh Ulama' yang hebat, tetapi seorang Ahli Parlimen yang amat disegani di Lubnan dan antara pemimpin Gerakan Islam Dunia yang amat dihormati.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya disyurga bersama para Rasul dan pejuang-pejuang agama Allah yang lain.

Friday, June 12, 2009

Fitnah Dunia

















































fitnah dunia terhadap Umat ISLAM.....

samada berlaku di tanah air mahupun luar negara....

soalnya jodoh?

jodoh? mungkin kita seringkali kita terfikirkan dalam benak hati dan sanubari. acapkali kita terfikirkan siapakah jodoh kita...namun persoalan ini tak dapat aku rungkaikan kerana ia melibatkan pelbagai persepsi..haruskah aku berbuat demikian? atau tidak? memang fitrah kejadian manusia yang inginkan hidup dengan pasangan masing-masing tetapi adakah cara tersebut dibolehkan dalam agama? tepuk dada tanyalah iman! cuba baca artikel dibawah dan jadikan panduan supaya kita bersangka baik dengan Allah tentang jodoh kita. kadang kala kita terfikirkan apa yang berlaku semua ada hikmahnya, mugkin kita tak nampak tapi suatu hari nanti pasti kita dapat mengetahui hikmah tersebut..


SOALAN


SAYA ada persoalan mengenai gaya berkasih di kalangan remaja sebaya saya. Tetapi saya bersyukur tidak terjerumus dalam kancah itu.


Saya percaya ketentuan jodoh, namun rakan saya sering berkata, jodoh tidak akan datang bergolek tanpa mencari. Hati saya kadang kala ingin mengiakan saja, namun kepercayaan jodoh ketentuan Allah masih lagi kuat.



Walaupun tidak mencari, saya takut apabila saya mula terdedah dengan perkara ini akan menyebabkan berlakunya zina hati, mata dan telinga.

Saya sebagai insan biasa memang inginkan percintaan, namun percintaan selepas kahwin pilihan saya. Saya yakin dengan janji Allah itu, insya-Allah jika saya baik saya akan memperoleh jodoh yang baik.

Saya harap Dr dapat beri penerangan batas mencari jodoh dan mohon doakan supaya pegangan ini sentiasa menjadi nadi hingga akhir hayat. Jika pegangan saya ini Dr rasakan salah, silalah perbetulkan.

NISA,
Negeri Sembilan.



JAWAPAN


PENDIRIAN anda mengenai cinta adalah benar. Percintaan selepas perkahwinan itulah yang paling diredai Allah.

Sekiranya percintaan sebelum perkahwinan terjadi, batas perhubungan hendaklah dijaga, antaranya:

(1) Menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan.

(2) Menjaga maruah dan harga diri masing-masing.

(3) Mendapat restu dan kebenaran ibu bapa.

(4) Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki diredai dan diberkati Allah.

(5) Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, dating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan.

Dalam memilih pasangan pula, Islam turut memberikan garis panduan supaya rumah tangga yang dibina memberikan kerahmatan, ketenangan dan keharmonian, antaranya:

(1) Seseorang itu hendaklah memilih pasangan yang sesuai supaya kebahagiaan diidamkan menjadi kenyataan di alam rumah tangga.

Calon yang paling sesuai ialah yang taat beragama dan berakhlak mulia. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang beragama, nescaya kamu akan diberkati Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

(2) Bagi keluarga perempuan, hendaklah menyegerakan perkahwinan anak gadis mereka apabila dilamar calon suami daripada kalangan yang beragama dan berakhlak serta berkemampuan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa."

(3) Memilih pasangan daripada keturunan yang baik. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Jangan dekati tumbuhan hijau di tempat kotor. Lalu bertanyalah kalangan pendengar kepada Rasulullah. Apa dia tumbuhan hijau di tempat kotor wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Perempuan cantik yang membesar di rumah yang penuh kejahatan serta keburukan." (Hadis Riwayat ad-Daruqutni)

(4) Memilih pasangan bukan daripada kerabat terdekat bagi memelihara kecerdikan zuriat dan menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan keturunan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Janganlah menikah dengan kaum kerabat kerana anak daripada pernikahan itu akan membesar kurus, lemah tubuh badannya dan tidak cerdik."

Sabda Baginda lagi: "Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah mengahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat."

(5) Bagi lelaki, Islam juga menasihati supaya mengutamakan wanita yang masih dara. Dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kahwinlah anak dara sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lemah lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

pautan

Tuesday, June 9, 2009

Kelestarian alam sekitar

Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang teristimewa berbanding dengan makhluk ciptaan lain. Sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab memakmurkan alam kurniaan Allah dengan sebaik-baiknya melalui interaksi yang positif. Perhubungan manusia bukan hanya terbatas dengan Pencipta dan sesama manusia sahaja tetapi merangkumi perhubungan dengan alam. Oleh yang demikian, alam sekitar merupakan sebahagian daripada elemen-elemen yang penting yang perlu dipelihara oleh manusia sebagai satu khazanah yang amat berharga.

Kemusnahan alam hijau anugerah Allah adalah disebabkan oleh kerakusan manusia mengekploitasi hasil alam melampaui batas. Implikasinya menyebabkan pelbagai fenomena alam berlaku antaranya, pemanasan global, tanah runtuh, banjir kilat dan pelbagai lagi yang mengganggu ketidaksabilan eko sistem. Justeru itu, pengurusan alam sekitar yang efektif dan konsisten sangat diperlukan bagi memastikan alam anugerah Allah tidak dimusnahkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Bahkan ia sangat bertepatan dengan falsafah syariat yang bersifat universal.

“Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.......”. Begitulah sebahagian terjemahan kata-kata Chief Seattle sebagai bahan rujukan oleh penceramah dan aktivis alam sekitar di seluruh dunia tentang pentingnya menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab setiap penduduk dalam sesebuah negara supaya tidak merosakkan alam sekitar ini dengan sewenang-wenangnya dalam apa jua cara untuk mengelakkan kesan buruk kepada generasi yang akan datang.

Keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi oleh manusia antaranya adalah disebabkan perhubungan murni antara manusia dan alam. Masalah ini telah pun dijelaskan oleh al-Quran, Allah S.W.T berfirman bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.” (Rum:41). Berdasarkan ayat tersebut jelaslah menunjukkan sikap manusia yang tidak menghormati, melakukan pencerobohan terhadap alam sekitar dengan cara berlebih-lebihan menyebabkan berlakunya kemusnahan alam. Oleh yang demikian, jelaslah Allah sebagai arkitek kepada penciptaan manusia lebih mengetahui sifat-sifat negatif yang ada dalam diri manusia dan memberi amaran kepada manusia melakukan pencerobohan tersebut agar kembali insaf dan bertaubat.

Islam secara amnya sangat menitikberatkan berkenaan dengan permasalahan sekitar. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti manusia yang boleh mengancam dan memusnahkan kehidupan alam ini adalah dilarang sama sekali dan ia bertentangan dengan tuntutan syarak dan tindakan ini sama sekali bertentangan dengan sunnatullah. Sebagai contoh, aktiviti pemusnahan hutan yang tidak terkawal, membuang bahan-bahan toksid dalam sungai atau laut, pencemaran asap oleh kilang-kilang, dan sebagainya. Manusia perlu mengingati bahawa setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi adalah makhluk Allah. Sekiranya manusia melakukan pencebohan secara tidak munasabah dan untuk kepentingan diri maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zalim. Perbuatan dan tingkah laku tersebut sudah tentulah berlaku kontradiksi dengan prinsip Islam yang murni.

Tegasnya, pengurusan alam semulajadi yang sistematik perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan bersifat mesra alam. Bersesuaian dengan gagasan Perdana Menteri yang ingin melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai peradaban tinggi yang seimbang dari aspek pembangunan insan dan pembangunan fizikal. Interaksi manusia dengan alam perlu dilihat dalam dimensi yang luas ia bersifat mesra alam. Sebagai hamba Allah kita perlu ingat bahawa setiap tingkah laku kita terhadap semua makhluk ciptaan Allah akan dinilai dan dihitung oleh Allah di hari akhirat kelak.